Homoseksualiti bukan satu kesalahan – Majlis Peguam

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Lim Chee Wee menggesa masyarakat menilai semula undang-undang berkaitan homoseksual di negara ini yang dianggap bersifat hipokrit.

Menurutnya, perbincangan perlu dibuat untuk melihat sama ada Seksyen 377A dan 377B Kanun Keseksaan masih boleh diterima berdasarkan definisi sekarang.

Chee Wee berkata, Seksyen 377A Kanun Keseksaan menyebut seseorang itu dianggap mengadakan seks di luar tabii jika dia memasukkan zakar ke dalam dubur atau mulut individu lain.

“Secara ringkasnya, sesiapa yang melakukan perbuatan seperti disebut dalam undang-undang ini, dianggap telah melakukan kesalahan yang boleh disabit di bawah seksyen ini.

“Jika kita lihat, undang-undang ini secara jelas melarang perbuatan seks oral dan seks luar tabii tanpa membezakan antara pasangan homoseksual dan heteroseksual.

“Persoalannya, berapa ramai pasangan heteroseksual (seperti suami isteri) yang mengadakan hubungan seks sebegini atas kerelaan dan kebenaran masing-masing? Jadi, jika kita ambil kira persoalan ini, kita dapat lihat undang-undang ini sendiri sudah lapuk,” katanya.

Selain itu, Chee Wee berkata, mengikut undang-undang sivil, homoseksualiti bukan satu kesalahan kerana ia adalah jenis orientasi seksual, dan bukannya perbuatan seks itu sendiri.

“Pendirian utama Majlis Peguam adalah, tiada sesiapa boleh didiskriminasi atau diperlekehkan hanya kerana identiti mereka, dan golongan ini juga berhak menyuarakan pandangan bagi membincangkan masalah ini.

“Tetapi Majlis Peguam, dan (pertubuhan bukan kerajaan pro-LGBT) Seksualiti Merdeka tidak menyokong seks bebas seperti yang kerap dilaporkan,” tegasnya.

Menyentuh isu diskriminasi terhadap golongan LGBT, Chee Wee berkata, Majlis Peguam ada menerima aduan daripada golongan­ ini yang diganggu pihak berkuasa, termasuk diminta memberi perkhidmatan seksual selain diskriminasi di tempat kerja.

“Tetapi malangnya, boleh dikatakan dalam hampir kesemua kes, mereka tidak bersedia membawa aduan ke langkah seterusnya kerana bimbang akan diperkecil dan diejek,” katanya.
Chee Wee berkata, negara ini belum mempunyai pemimpin yang berani memperjuangkan nasib golongan LGBT.

“Pemimpin politik perlu sekurang-kurangnya bercakap secara terbuka bahawa ada individu dalam komuniti LGBT ini menjadi begitu bukan atas kehendak atau pilihan mereka sendiri,” katanya.

“Apa yang kita perlukan dalam isu LGBT ini adalah undang-undang kesamarataan dan anti-diskriminasi, serta perasaan simpati daripada orang ramai, bukannya melabel mereka sebagai musuh negara.

“Setiap individu perlu bertanya kepada diri mereka sendiri, adakah mereka tahu atau mengesyaki sesiapa yang mereka kenali tergolong dalam komuniti ini? Jika ya, mereka perlu bertanya, adakah individu ini wajar didakwa, didiskriminasi atau dimalukan?,” katanya.