Hoki: Malaysia layak Piala Dunia Remaja 2013

MALAYSIA bakal bertembung dengan India di saingan separuh akhir, Kejohanan Hoki Remaja Asia Ke-7 selepas muncul juara Kumpulan A menewaskan Jepun 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Bukit Serindit, semalam.

Kemenangan itu secara langsung mengesahkan tiket skuad negara layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2013 di New Delhi – mengiringi Pakistan, Korea dan India selaku tuan rumah.

Sebelum itu Pakistan yang menjuarai Kumpulan B selepas menewaskan Sri Lanka 14-0 bakal berdepan Korea, Khamis ini manakala India yang menang tipis 2-1 ke atas China muncul naib juara dan berdepan Malaysia.

Apa pun Malaysia berdepan ujian getir sebelum menang ke atas Jepun selepas lawan meledak jaringan seawal minit ke-4 menerusi gerakan padang menarik Mori Yohei.

Gol terbabit jelas membuatkan anak buah terkejut kembali bangkit dan menyamakan kedudukan menerusi sentuhan kapten pasukan Muhamad Nur Faeez Ibrahim pada minit ke-14 menerusi gerakan sudut penalti.

Pertembungan menarik pada aksi penutup kumpulan berkenaan menyaksikan Jepun bukan terlalu mudah untuk diratah pemain negara.

Apa pun sokongan padu kira-kira 5,000 peminat negara membolehkan Muhamad Syamim Mohd Yusof (m-57) dan Faisal Saari (m-67) menutup kesungguhan pelawat untuk mengikat anak didik K Dharmaraj.

Namun, kekebalan penjaga gol Jepun Kusanagi Kazuki menghalang gawang mereka dibocori banyak gol, sambil mereka hampa selepas jaringan pada minit ke-49 dibatalkan.