Hodgson tidak gentar

LONDON – Roy Hodgson menegaskan, beliau mampu menutup mulut pengkritik yang mempertikaikan pelantikannya selaku pengurus skuad bola sepak kebangsaan England.

Selasa lalu, Persatuan Bola Sepak (FA) England memilih Hodgson untuk menggantikan tempat Fabio Capello yang meletak jawatan pada Februari lalu.

Hodgson menjadi pilihan meskipun sebelum ini pengurus Tottenham Hotspur, Harry Redknapp disebut-sebut sebagai calon yang paling sesuai.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Switzerland dan Inter Milan itu yakin pengalaman yang dimilikinya mampu untuk memenangi hati pihak yang memper- tikaikan pelantikannya.

Hodgson perlu memenangi hati barisan pemain bintang skuad The Three Lions seperti Wayne Rooney, Rio Ferdinand dan Jack Wilshere yang mengeluarkan kenyataan secara terbuka mahu Redknapp menjadi jurulatih mereka.

“Setiap jurulatih perlu memenangi hati para pemain mereka.

“Ini bukan kali pertama saya mengalami situasi seperti ini. Sebelum ini, saya bertemu dengan sekumpulan pemain yang kebanyakannya tidak saya kenali.

“Apabila kamu mendapat tugas baharu, setiap jurulatih perlu memenangi hati para pemain dan memastikan yang mereka semua bersatu,” kata Hodgson.

Beliau hanya ada masa bebe- rapa minggu sahaja lagi bagi menyenaraikan 23 pemain bagi menghadapi pusingan akhir Euro 2012 di Poland dan Ukraine, Jun depan.

Jurulatih berusia 64 tahun itu akan memulakan tugas pertamanya bersama skuad England pada aksi persahabatan menentang Norway di Oslo pada 26 Mei ini.

Selain itu, anak-anak buah Hodgson juga akan menghadapi satu lagi aksi persahabatan menentang Belgium pada 2 Jun sebelum berlepas ke Poland empat hari kemudian. – AFP