Hodak berang sikap pemain

TIADA apa yang dibanggakan Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak sebaik sahaja pasukan kendaliannya menamatkan kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012 dengan menjuarai kumpulan H, semalam.

Meski pun gembira dengan tiga mata hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Ayeyawady United, Hodak ternyata kecewa dengan sikap pemain yang mementingkan diri sendiri.

“Saya tidak gembira dengan keputusan 1-0 ini. Kita seharusnya menang dengan jaringan yang banyak, tetapi pemain tidak menunjukkan minat membantu pasukan mencipta kemenangan besar.

“Ada segelintir pemain menunjukkan sikap negatif. Teruk….main seperti bola sepak kampung. Kerana sikap mementingkan diri sendiri kita hampir dihukum kebangkitan pasukan lawan terutama pada penghujung perlawanan,” katanya.

Kekecewaan Hodak itu terbukti apabila anak didiknya melepaskan deretan peluang terhidang meskipun menang menerusi jaringan tunggal Onyekachi Nwoha pada minit ke-47 perlawanan tersebut.

Malah, prestasi hambar ditonjolkan penjaring terbanyak Kelantan dalam kempen Piala AFC ini, Mohammad Ghaddar juga turut mengundang cemuhan penyokong setia tempatan sendiri.

Mengulas mengenai lawan yang bakal dihadapi pada pusingan kedua nanti, Hodak mengakui beliau tidak kisah sama ada Kelantan bakal bertemu Terengganu atau Kitchee FC dari Hong Kong dalam saingan kalah mati 23 Mei ini.

Sementara itu, pengendali Ayeyawady United, Jozef Herel akur dengan kekalahan tipis tersebut sambil memberitahu fokus pasukannya selepas ini ialah memburu kejuaraan Liga Myanmar.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, peluang kami cukup sukar untuk mara ke pusingan kedua. Inilah bola sepak dan Kelantan berhak menang kerana berjaya memanfaatkan salah satu peluang mereka dengan menjaringkan gol,” katanya.