Fernandez beri keterangan

PUTRAJAYA: Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez semalam memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kenyataannya dalam satu temu ramah dengan sebuah akhbar Indonesia, Isnin lalu.


Fernandez, 66, yang berkerusi roda, memasuki Bangunan SPRM kira-kira jam 9.30 pagi ditemani peguam Fadiah Nadwa Fikri dan beberapa individu lain serta dilihat keluar pada jam 12 tengah hari.

Ketika ditemui, Fernandez berkata, beliau hadir selepas menerima sepucuk surat daripada SPRM, kelmarin yang meminta berbuat demikian.

“Tujuan saya ke sini sangat jelas, iaitu memberi maklumat dan menjelaskan mengenai temu bual dengan akhbar Jakarta Post, baru-baru ini.

“Bagaimanapun, apabila saya datang, mereka (SPRM) kata ada tiga peringkat iaitu sesi temu bual, membuat laporan dan menyoal saya, tetapi saya maklumkan kepada pegawai berkenaan, saya datang hanya untuk memberikan maklumat dan ditemu bual SPRM serta dan saya tidak mahu membuat laporan atau disoal siasat.

“Selepas merujuk kepada pihak atasan, pegawai berkenaan kemudian bersetuju untuk hanya menemubual saya dan saya memberikan maklumat yang ada,” katanya.

Dalam temu bual itu, Fernandez mendakwa Malaysia tidak selamat langsung untuk pekerja Indonesia dan mendakwa majikan negara ini berani melanggar undang-undang dengan memberi rasuah kepada pihak berkuasa.

Dalam temu bual berbentuk soal jawab disiarkan The Jakarta Post, Isnin lalu, beliau turut mendakwa Kerajaan Malaysia tidak mempunyai rangka kerja mahupun undang-undang khusus untuk melindungi pekerja asing, malah turut mengamalkan diskriminasi terhadap pembantu rumah dan pekerja ladang kerana kedua-duanya tidak termasuk di bawah dasar kadar gaji minimum sektor swasta.

Bagaimanapun, Fernandez menafikan beberapa bahagian laporan disiarkan The Jakarta Post dan mendakwa beliau sudah mengarahkan akhbar itu untuk membetulkannya.

Berikutan kenyataannya itu, pelbagai pihak seperti Persatuan Majikan Amah Malaysia, Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Biro Pengaduan Awam MCA dan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.