Fauzi dinasihat tidak gadai keselamatan negara

SHAH ALAM: Bekas Ketua Polis Negara menasihati bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari agar tidak menggadaikan keselamatan negara, semata-mata mahu berkecimpung dalam kancah poitik.

Tan Seri Musa Hassan berkata Fauzi sebagai bekas pegawai tertinggi dalam Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) harus berpegang kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang ditandatangi sewaktu mula menjawat jawatan dalam kerajaan.

Semalam Fauzi secara rasminya menyertai parti PAS dan berjanji akan mendedahkan ‘rahsia’ kerajaan sekiranya perlu.

Mengulas perkara itu, Musa menasihati Fauzi agar tidak berbuat demikian kerana ia hanya meletakkan negara dalam keadaan bahaya selain menyusah diri dan keluarga bekas pegawai kerajaan itu.

“Saya nasihatkan tidak payahlah, semasa bertugas sebagai pegawai polis pernah menandatangani berkaitan dengan rahsia rasmi kalau dia mahu mendedahkan rahsia takut dia bakal menyusahkan diri dia sendiri.

“Ada rahsia kerajaan adalah untuk kepentingan keselamatan jadi dia tidak boleh mendedahkan perkara seperti itu,” katanya.

Musa sebaliknya mencadangkan kepada Fauzi agar menasihati pemimpin PAS agar tidak menimbulkan kacau bilau dan menggugat kerukunan negara.

“Saya harap dia sebagai pegawai polis dapat membantu memberi nasihat kepada orang-orang politik yang dia masuk dalam PAS itu tadi, supaya tidak menimbulkan masalah-masalah, sebagai pegawai polis sepatutnya begitulah,” katanya ketika ditemui di Seminar Institut Forensik Sains, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Musa menambah, sebagai seorang penjawat awam, Fauzi sepatutya memahami dan mematuhi prosedur yang ditetapkan iaitu mereka tidak dibenarkan terlibat dalam mana-mana parti politik.

“Sebagai pegawai kerajaan dia sepatutnya tahu batasan dia itulah sebabnya saya tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.

“Polis mesti bebas daripada bersifat pilih kasih kepada mana-mana pihak, jadi kalau kita pencen kita sepatutnya kita berlaku adil dan tidak terlibat dengan mana-mana pihak,” katanya.

Fauzi semalam menyerahkan borang menjadi ahli PAS kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta timbalannya, Haji Mohamad Sabu dalam majlis pengisytiharan perdana malam tadi di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang, Larut.

Penyertaannya dilihat memberi bonus kepada PAS yang kini bertungkus lumus membuktikan parti itu masih berpegang pada dasarnya dan tidak tunduk pada rakan parti kompenannya DAP.