Everton ‘bunuh’ United: Ferguson

MANCHESTER: Sir Alex Ferguson melancarkan siasatan dalam kempen Manchester United dan mendedahkan keputusan ‘bodoh’ seri 4-4 ketika bertemu Everton akan menjadi punca kegagalan mereka mempertahankan mahkota Liga Perdana Inggeris.

United memiliki kelebihan lapan mata di puncak liga bulan lalu, bertandang ke minggu terakhir kempen liga musim ini dengan harapan menjulang kejuaraan ke-20 namun Ferguson dan pemain perlu terlebih dulu menewaskan Swansea di Old Trafford, hari ini dan berharap pasukan di tangga kelima, Newcastle menewaskan Manchester City untuk kembali mendahului liga menuju perlawanan terakhir.

Gagal untuk menang dalam perlawanan liga akan meninggalkan United berdepan prospek sukar – tanpa sebarang trofi semusim dan Ferguson sudah pun memulakan siasatan mengenai kegagalan pemain yang menyaksikan United di depan 4-2 ketika menentang Everton sebelum melepaskan dua jaringan dalam masa tujuh minit terakhir.

“Saya fikir perlawanan menentang Everton membunuh buat kami. Ia adalah prestasi yang benar-benar tidak masuk akal dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan. Hanya kelalaian mutlak,” kata Ferguson.

“Jika kami kehilangan kejuaraan liga, kami perlu menerima bahawa perlawanan Everton menjadi punca. Tiada keraguan,” kata Ferguson dengan United bersedia untuk bangkit selepas kekalahan 1-0 kepada City, Isnin lalu selain berharap Newcastle yang turut tertekan mampu membantu mereka.

United akan beraksi tanpa khidmat penyerang, Danny Welbeck, yang mengalami kecederaan selepas terjahan keras pemain tengah City, Nigel De Jong dengan Ferguson juga mengakui kad kuning tidak mencukupi untuk kesalahan itu