Euro 2012 – Denmark tiada perasaan gentar

DENMARK tidak ada perasaan gentar meskipun diundi bersama pasukan yang berada dalam kedudukan lima teratas ranking dunia pada pusingan akhir Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012.

Denmark yang menghuni kedudukan kesembilan dalam ranking dunia diundi dalam Kumpulan B bersama Jerman (2), Belanda (4) dan Portugal (5) pada Euro kali ini yang akan membuka tirainya pada 8 Jun depan.

Meskipun terpaksa berdepan pasukan-pasukan terbaik dunia itu, mereka tetap optimis untuk mencipta kejutan pada kejo- hanan yang akan berlangsung di Poland dan Ukraine itu.

Penjaga gol Denmark, Thomas Sorensen memberitahu, rakan-rakan sepasukannya sudah bersedia untuk berhadapan dengan ketiga-tiga pasukan tersebut sebelum melangkah ke kelompok lapan pasukan terbaik.

Jelasnya, walaupun diundi dalam kumpulan yang paling sukar tetapi ia tidak menjejaskan sasaran utama Denmark untuk muncul juara pada tahun ini.

“Sudah pasti di atas kertas, kami tidak menggemari undian ini tetapi kami tetap akur dan perlu bersedia menghadapinya.

“Sebagai pemain, kami bertekad untuk mengukur kebolehan kami menentang pasukan terbaik dan boleh dikatakan yang kami sudah berada dalam kumpu- lan yang disertai oleh dua pasukan terbaik di dunia.

“Mereka (Jerman, Belanda dan Portugal) pasti akan memberikan saingan yang sukar tetapi tiga pertemuan itu juga merupakan sasa- ran utama kami dan saya rasa kami mempunyai peluang untuk menang,” kata Sorensen.

Skuad yang terkenal dengan jolokan Danish Dyna- mite itu telah membuktikan keseriusannya untuk mengungguli gelaran Eu- ro 2012, lebih-lebih lagi selepas menundukkan Portugal 2-1 pada aksi terakhir kelayakan Oktober lalu, sekali gus berada di puncak Kumpulan H.

Juara Euro 1992 itu mengetepi- kan cabaran Portugal pada aksi terakhir itu menerusi jaringan dua penyerang utamanya, Michael Krohn-Dehli dan Nicklas Bendtner, manakala Portugal meraih gol tunggal hasil ledakan pemain sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Sorensen juga percaya, keserasian dan kerjasama yang dipamerkan pasukannya ketika menghadapi kempen kelayakan pada tahun lalu dan keupayaan jurulatih- nya, Martin Olsen mengetuai kese- belasan utama menjadi pembakar semangat buat barisan pemain Denmark.

Walaupun beliau telah meng- umumkan untuk mengakhiri khidmatnya selaku jurulatih Denmark selepas aksi kelayakan Euro 2012, namun prestasi cemerlang yang dipamerkan skuad kendaliannya telah mengubah keputusan asalnya itu dan Olsen berharap rentak yang sama dapat dipamerkan pada pusingan akhir kelak.

“Kami beraksi dengan cemerlang ketika menewaskan Portugal pada aksi kelayakan peringkat kumpulan.

“Saya berharap para pemain mampu menunjukkan aksi yang berkualiti seperti ini pada pusingan akhir kelak,” ujar Olsen

Sorensen menambah: “Kami menjadi hebat apabila beliau (Olsen) berada bersama skuad kerana dia merupakan inspirasi kami.

“Caranya yang cukup profesional dan penuh bersemangat ketika mengendali pasukan menyenangkan semua pemain.

“Setiap pemain sangat menghormatinya dan saya percaya antara sebab beliau dilantik menjadi jurulatih untuk tempoh yang lama kerana Olsen mampu meraih penghormatan daripada kami.”

Sementara itu, perancang muda Denmark, Christian Eriksen turut yakin dengan kemampuan Danish Dynamite untuk mencipta kejutan pada Euro kali ini.

“Saya sangat mengharapkan kejayaan pada Euro 2012 meskipun berada dalam ‘kumpulan maut’.

“Kami akan lihat setakat mana kemampuan pasukan nanti dan sejauh mana kehebatan kami. Kami memberikan aksi yang cemerlang pada kempen kelayakan, jadi keya- kinan kami sangat tinggi.

“Belanda juga merupakan pasu- kan yang hebat tetapi setelah menyertai Ajax Amsterdam (kelab Belanda), saya yakin kami juga mampu menewaskan mereka dan melepasi peringkat kumpulan,” kata pemain tengah Ajax itu.