England tekad padam kontroversi

SEANDAINYA ada anugerah pasukan paling kontroversi tahun ini, tidak mustahil ia akan digondol oleh England.

Apa tidaknya, skuad yang terkenal dengan jolokan The Three Lions itu sering dibelenggu sentimen di luar padang sepanjang tahun ini.

Bermula dengan peletakan jawatan jurulatih, Fabio Capello ketika saingan Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 masih belum bermula, kem England juga tidak lekang berdepan kontroversi skandal seks beberapa pemain utama mereka.

Selain itu, skuad England juga dilihat agak ‘caca-marba’ menjelang kejohanan Euro kali ini, rentetan daripada ketiadaan beberapa pemain utama seperti Jack Wilshere, Chris Smalling dan Rio Ferdinand yang dikhabarkan kurang cergas kerana dibelenggu masalah kecederaan kali ini.

‘Resume’ tidak seberapa England dalam pentas bola sepak dunia apabila sekadar muncul naib juara Euro 1968 selain hanya sekali menjulang trofi Piala Dunia – itupun ketika menjadi tuan rumah pada 1966 – juga mengundang kritikan peminat fanatik England.

Namun, sedar atau tidak, ia langsung tidak mengundang resah di hati pengendali baharu England, Roy Hodgson yang kekal optimis skuadnya masih mampu menyinar kali ini.

Diundi dalam Kumpulan D bersama gergasi Eropah, Perancis dan tuan rumah bersama, Ukraine, ‘kerja rumah’ Hodgson pastinya bukan sedikit, terutamanya hanya mempunyai dua perlawanan persahabatan menentang Norway dan Belgium bagi menguji kemampuan skuadnya sebelum Euro 2012 bermula Jun depan.

“Saya adalah individu yang paling gembira ketika ditawarkan jawatan menerajui England dan bersedia memikul tanggungjawab ini sebaik mungkin.

“Semua orang tahu ia bukan satu tugas yang mudah, namun saya percaya peminat sentiasa berada di belakang saya untuk melakar kejayaan kali ini,” katanya.

Selain ‘ayam tambatan’ Wayne Rooney, Ashley Young serta Dar- rent Bent, Hodgson juga memiliki pilihan di jentera serangan ekoran prestasi luar biasa peledak Liver- pool, Andy Carroll pada penghujung saingan Liga Perdana England baru-baru ini.

Kredibiliti kapten, Scott Parker dan Frank Lampard di bahagian tengah juga dilihat menjadi seba- hagian daripada congakan Hodgson supaya tidak ‘berputih mata’ kali ini.

“Saya sedar, atas kertas England sering menjadi pilihan ketika menyertai mana-mana kejohanan utama berdasarkan kekuatan yang kami ada.

“Walaupun hanya mengendalikan pasukan pada saat-saat akhir, ia bukan bermakna saya mahu bersikap ‘lepas tangan’ sebegitu sahaja.

“Saya sedar tanggungjawab saya. Justeru, saya akan berusaha untuk berbincang dengan seberapa ramai pemain sebelum kejohanan Euro bermula,” kata Hodgson.

Dalam pada itu, Lampard juga menafikan pasukannya akan gagal setelah ketiadaan Capello.

“Sesiapa pun yang mengendalikan England pasti akan membawa kejayaan kepada pasukan, termasuk Hodgson.

“Malah, saya juga sedar ini mungkin merupakan antara kejo- hanan utama yang terakhir buat saya sebelum bersara.

“Jadi, saya berazam mahu memberikan yang terbaik demi peminat sebelum menamatkan karier saya sebagai pemain bola sepak,” katanya. – Agensi