Denda RM10,000 kerana pemetik api

KOTA BHARU – Gara-gara mengugut seorang lelaki menggunakan pemetik api yang menyerupai pistol dan memiliki sebilah pisau, seorang pemuda dikenakan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly menjatuhkan hukuman tersebut selepas Mohammad Hasri Mohd. Hashim, 20, mengaku salah bagi tiga tuduhan iaitu mengugut dengan cara menakutkan, memiliki pistol palsu dan memiliki senjata tajam.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohammad Hasri dari Kubang Kerian di sini didakwa mengugut seorang lelaki di hadapan sebuah kedai runcit dengan cara menakutkan mangsa menunjukkan pemetik api menyerupai pistol sepanjang enam sentimeter.

Kejadian tersebut berlaku pada pukul 12.50 tengah hari 31 Mac lalu semasa tertuduh mengacukan pemetik api bersaiz sepucuk pistol yang bertulis MI-6 ke arah mangsa.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mengugut dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 memilik pistol palsu.