City fokus aksi menentang QPR

LONDON – Pengurus Manchester City, Roberto Mancini memberi amaran kepada para pemain supaya tidak terlalu yakin untuk menjulang trofi Liga Perdana England musim ini.

Peluang City untuk memenangi gelaran pertama sejak 44 tahun lalu semakin cerah selepas menewaskan Manchester United 1-0 diikuti dengan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United, Ahad lalu.

Bagaimanapun, City perlu menewaskan Queens Park Rangers (QPR) di Stadium Etihad, Ahad ini sekiranya berhasrat untuk merampas trofi itu daripada United.

Mancini berkata, masih terlalu awal untuk para pemain dan kru pasukan meraikan kejayaan itu.

“Hari untuk kami menjulang trofi sudah semakin dekat tetapi ia masih belum pasti kerana kami mempunyai satu lagi perlawanan yang sangat sukar.

“Perasaan saya dan para pemain semakin baik setelah City menewaskan Newcastle tetapi kami perlu beraksi dalam situasi yang lebih baik apabila menentang QPR,” kata Mancini.

Bagaimanapun, Mancini perlu memastikan semua pemain membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi pasukan yang dibimbing bekas pengurus City, Mark Hughes itu.

Beliau merancang untuk menjalani latihan seperti biasa menjelang aksi terakhir musim ini.

Pengurus kelahiran Itali itu bimbang sekiranya tumpuan para pemain terganggu sepanjang minggu ini, misi utama mereka untuk meraih gelaran liga akan menjadi semakin sukar.

“Kami berjaya meletakkan semua pemain pada tahap terbaik. Kami pernah melakukannya sebelum ini (menentang United).

“Kemudian kami mengulangi perkara yang sama minggu lalu sebelum menghadapi Newcastle. Kami tidak mengubah apa-apa.

“Jika kami tidak mengekalkan konsentrasi pasukan dan melakukan persediaan yang baik, saya pasti perlawanan ini (menentang QPR) akan menjadi lebih sukar dan memusnahkan harapan pasukan,” kata Mancini. – Agensi