Capello mahu jadi pengurus Chelsea

Menurut laporan, Bekas pengurus England, Fabio Capello mahu menjadi pengurus Chelsea musim depan.

Akhbar The Guardian melaporkan bahawa Capello “telah memberitahu Chelsea beliau mahu menjadi pengurus seterus mereka musim panas ini”.

Pengurus dari Itali itu masih belum mengesahkan perkembangan terbaru ini, yang telah dilaporkan dalam beberapa akhbar di UK termasuk The Guardian.

Perlawanan akhir Liga Juara-Juara Sabtu ini adalah perlawanan terakhir untuk pengurus sementara Chelsea Roberto Di Matteo, melainkan beliau ditawarkan untuk menjadi pengurus secara tetap. Bekas pemain tengah Blues itu telah dipuji ramai kerana telah memperbaiki musim Chelsea sejak pemecatan Andre Villas-Boas tetapi Chelsea menegaskan mereka hanya akan membuat keputusan tentang masa depan Di Matteo di akhir musim ini.

Capello akan menghadiri perlawanan akhir di Munich itu dan sebelum ini pernah bercakap beliau “minat” menjadi pengurus sebuah kelab di England.

“England akan menjadi sangat menarik bagi saya kerana saya kenali pasukan-pasukan dan para pemain dengan baik dan semuanya akan jadi lebih mudah,” katanya dalam satu temu bual dengan The Times bulan ini.

“Saya telah menolak beberapa tawaran yang melibatkan banyak wang, dari kelab-kelab di Cina dan tempat-tempat yang berlainan di merata dunia. Saya mahu satu lagi cabaran besar.

“Di akhir kerjaya saya ini, sangat menarik untuk mencari satu pasukan dengan motivasi besar untuk berjaya. Saya mahu mengurus sebuah pasukan yang boleh bermain dalam Liga Juara-Juara dan berjuang untuk banyak trofi. Jika saya tidak jumpa kelab seperti itu, saya akan kembali menjadi seorang cendekiawan.”

Capello meletakkan jawatan sebagai pengurus England pada Februari 2012 selepas FA memecat John Terry sebagai kapten pasukan kebangsaan tanpa persetujuannya.

Beliau adalah salah satu pengurus yang paling berjaya dalam sejarah kerana telah memenangi liga domestik dengan setiap kelab yang beliau mengurus sepanjang kerjayanya.