Bukan Kejar Populariti, Dira Tidak Terkilan Tinggalkan Melodi

Pengacara Melodi, Dira Abu Zahar membuka mulut menerangkan apakah yang membuatkannya membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada mengacarakan program hiburan popular, Melodi.

Telah lama memikirkan hasrat tersebut, Dira mengaku bukan suatu yang mudah untuk melakukan banyak perkara dalam satu-satu masa.

“Perbincangan untuk mengundurkan diri dari Melodi telah dilakukan lebih awal memandangkan saya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaannya selain mahu meneruskan hasrat untuk melanjutkan pelajaran serta membina keluarga. Ia tiada kena-mengena langsung dengan sebarang kontroversi.”

Dira kini merupakan pelajar ijazah Sarjana Filem Digital dan Televisyen di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing, Cyberjaya.

“Saya mencuba juga untuk mencampur-adukkan jadual antara Melodi dengan pengajian saya namun tidak berkemampuan kerana pengajian peringkat Sarjana Filem Digital dan Televisyen bukan sesuatu yang boleh diambil ringan. Baru sahaja mendaftar, sudah ada tugasan yang perlu dihantar. Projek yang perlu dilaksanakan turut melibatkan siswazah yang lain. Jadi adalah tidak adil sekiranya saya tidak menumpukan perhatian kepada pelajaran.

“Dalam waktu yang sama, perniagaan saya semakin berkembang dan baru sahaja berpindah ke cawangan baru di Jalan Yap Kwan Seng. Selama ini perniagaan itu diuruskan oleh abang saya dan apabila perniagaan ini semakin berkembang, saya perlu lakukannya betul-betul kerana modal yang dilaburkan agak besar.” tambah Dira lagi.

Menolak anggapan Melodi banyak mengehadkan kerjaya lakonannya, sebaliknya program hiburan itu telah menjadi batu loncatan kepadanya untuk lebih dikenali di mata umum.

“Saya tidak pernah menganggap Melodi telah mengehadkan peluang saya dalam bidang lakonan mahu pun mengembangkan perniagaan, sebaliknya Melodi telah menjadi batu loncatan yang agak baik untuk saya. Selama ini penonton hanya mengenali saya sebagai pelakon dan sedikit sebanyak Melodi telah mempopularkan nama saya. Taruhan Melodi untuk mengambil saya sebagai pengacara juga telah membuka peluang baru kepada saya untuk mengacarakan acara-acara yang lain.”

Tanpa sedikit pun rasa terkilan menyedari populariti besar yang dimiliki Melodi, Dira percaya objektif utamanya terjun ke dunia seni ini bukanlah untuk mengejar populariti.

“Saya terjun ke bidang ini bukan populariti yang saya kejarkan. Saya seorang penggiat yang lebih mengutamakan kualiti baik di skrin televisyen, layar perak atau pun di pentas teater. Soal popular atau tidak bukan kerana bersandarkan sesebuah program yang popular seperti Melodi. Populariti boleh datang dari pelbagai bidang dalam segala bentuk dan aspek. Namun saya akui, Melodi merupakan sebuah program hiburan yang sudah cukup sebati dengan masyarakat tempatan.” ulas Dira.

Dira juga yakin dua pengacara yang terpilih iaitu Zizan Razak dan Awal Ashaari mampu untuk menggalas tanggungjawab tersebut dengan cemerlang.

“Kemampuan Awal dalam bidang pengacaraan tidak perlu dipersoalkan. Begitu juga Zizan kerana mereka tahu apa yang mereka lakukan. Malah mereka mampu untuk mengacarakan program itu lebih baik daripada yang pernah saya lakukan. Ia merupakan satu keputusan yang tepat. Melodi tidak pernah mengandingkan dua pengacara lelaki mengacarakan program itu, mungkin gandingan itu akan memberikan impak yang lebih baik, siapa tahu.”

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak produksi Melodi kerana telah memberikan saya peluang selama setahun untuk mengacarakan program kegemaran ramai itu. Pengalaman itu sangat berharga. Walaupun dalam tempoh yang singkat, setidak-tidaknya, mengacarakan Melodi akan terus berada di dalam profil kerjaya saya sampai bila-bila.” ujar Dira mengakhiri bicara.