Bloodshed Kembali Beraksi

Nostalgia album ‘Samarkand’ kini kembali apabila Bloodshed bakal tampil dalam konsert ‘KL Metal Camp 2012’ di Stadium Chinwoo, Kuala Lumpur pada 29 April ini.


Dua line-up asal, Hamdan Yusoff (pengasas dan gitaris asal untuk album pertama) dan pemain kibod, Azizul Azman atau Judy, bersama line-up baru Joe (bassis) dan Iwan (pemain dram) diuar-uarkan akan bergabung dengan vokalis asal Bloodshed, Rosdan Baharom untuk konsert tersebut.

Berita mengenai Rosdan itu bagaikan ilusi sebuah mimpi yang menjejak ke alam realiti. Khabar tersebut amat memeranjatkan kerana vokalis berusia 49 tahun itu pernah menyatakan tidak lagi berminat menyertai Bloodshed.

Bukan sahaja peminat dan pihak Karisma terkejut tetapi pelantun suara itu sendiri yang pernah popular dengan lagu balada dan rancak antaranya ‘Carilah Wajahmu’, ‘Srikandi Cintaku’, ‘Illusi Sebuah Mimpi’, ‘Samarkand’ dan ‘Satria Mega’ turut terkedu dan terkejut dengan cerita beliau kembali ke pangkuan Bloodshed!

“Mana aku main balik dengan Bloodshed. Aku tak setuju dan tak tahu macamana nama aku boleh diletakkan dalam poster ‘KL Metal Camp 2012’. Aku dah tak bolehlah main dengan Bloodshed, tak syok, takde aura dan dah takde ‘feeling’ lagi. Nanti bila aku tak muncul dekat konsert tu, aku pulak yang kena. Ringkasnya, aku tak boleh main dengan Bloodshed kerana hala tuju muzik dan juga perbezaan melibatkan personal antara kami.

Lagi satu macam tak kena Bloodshed main dengan band-band yang terlibat seperti D.R.I., Koffin Kanser dan sebagainya. Konsert ni kenalah untuk semua band tu tapi untuk Bloodshed macam tak sesuai,” jelas Rosdan mengenai dirinya yang tidak akan menyertai Bloodshed.

Beliau meninggalkan Bloodshed pada awal 1988, dua minggu selepas ‘Samarkand’ dikeluarkan yang kalau tidak silap penulis pada Februari atau Mac tahun tersebut. Album itu dikatakan siap dirakamkan pada 1987 dan hanya masuk pasaran pada awal 1988 sebelum meletup dengan lagu ‘Srikandi Cintaku’.

Selepas keputusan mengejutkan keluar dari Bloodshed, Rosdan membuat perhitungan baru yang berisiko apabila menubuhkan Punisher, kumpulan thrash metal yang bukan sahaja berbeza dengan muzik Bloodshed pada masa itu tetapi juga irama rock secara keseluruhan. “Tidak lama selepas keluar Bloodshed, aku cari pemuzik baru, start ‘jammning’ dan menubuhkan Punisher dengan konsep muzik berbeza sekali dan amat pelik pada masa itu iaitu thrash metal!

Aku keluar Bloodshed kerana ‘music direction’, album tu banyak lagu ‘slow’, bosan dengan M. Nasir dan bosan dengan industri muzik masa tu. Aku juga bengang kerana kumpulan rock masa itu ada konflik dengan kerajaaan (isu pengharaman konsert rock).

Disebabkan semua itu aku terus masuk underground dan ‘rebel’ lalu menubuhkan Punisher yang dipengaruhi Metallica, Megadeth, Slayer, Anthrax dan sebagainya. Sepanjang Punisher aktif kami hanya memainkan lagu cover sebelum berakhir pada awal ’90-an. Memang niat nak buat lagu sendiri tetapi tidak sempat,” ujar Rosdan.

Punisher adalah salah sebuah band yang bermain dalam konsert thrash metal pertama di Stadium Negara pada hujung 1988 bersama Nemesis, Saxo dan Slap Death. Satu-satunya rakaman yang pernah Punisher lakukan ialah dalam album ‘Tribute To Wings’ (2000) dengan lagu ‘Inspirasi Taming Sari’. Punisher tidak aktif apabila pada hujung 1991, Rosdan berhijrah ke Denmark dan berkahwain dengan wanita warga negara tersebut.

Beliau menyertai beberapa kumpulan funky metal dan aktif bermain gig semasa di negara itu. Terlibat dalam Mantis Opera dan menghasilkan sekeping demo pada 1993 sebelum menyertai Funker Temples dan juga mengeluarkan demo pada tahun sama.

Selepas itu Rosdan menubuhkan Chemeleon, satu lagi band dengan aliran muzik yang serupa, bersama pemuzik terkenal Denmark dan menghasilkan sebuah album mini pada 1993. Chameleon aktif antara 1993 hingga 1995. Rosdan pulang semula ke tanah air pada 2001 dan selepas itu terlibat dalam beberapa acara gig tempatan.

Sementara itu, Hamdan pula berkata, Bloodshed akan meneruskan persembahan di ‘KL Metal Camp 2012’ dengan menampilkan pengganti Rosdan iaitu Wan Zamri. “Zamri sebelum ini adalah anggota band Cropox di Pahang. Kita ambil beliau selepas satu sesi uji bakat dan merasakannya punya stail dan karisma tersendiri, tambahan pula suaranya ada mirip Rosdan (ketawa).

Mengenai line-up baru yang lain seperti Joe, beliau bukan baru bermain bass tetapi telah 20 tahun dan menyertai banyak kumpulan dan bagi Iwan, masih ‘fresh’ lagi tetapi mempunyai permainan yang bagus, memiliki ‘stroke’ baru dan ada stail sendiri.

Melalui line-up ini kita akan bermain dalam ‘KL Metal Camp 2012’,” ujar Hamdan yang bersama Bloodshed ketika diperkenalkan dalam album kompilasi ‘Battle of The Bands’ bahagian pertama dan kedua (1986) dan album pertama ‘Illusi Sebuah Mimpi’ (1987).

Mengenai perancangan dalam tahun ini Bloodshed akan merakamkan ‘single’ terbaru atau album mini dengan empat buah lagu baru. “Mungkin juga kita akan merakamkan sebuah album dengan empat lagu baru dan enam lagu lama yang diberi nafas semula,” jelas Hamdan lagi.

Bloodshed berpecah pada 1990 selepas menghasilkan ‘Illusi Sebuah Mimpi’, ‘Samarkand’ dan ‘Villa Misteri’ (1989). Diaktifkan semula oleh Hamdan pada 2008 lantas mengeluarkan single ‘Manifestasi Cinta’ dan setahun berikutnya bergiat kembali dengan pertunjukkan pentas dengan line-up baru dan lama.

Publisiti kembali mewarnai pentas perjuangan mereka apabila indera industri muzik tertumpu apabila Bloodshed muncul dalam dua program hiburan terkenal, ‘Muzik-muzik’ dan ‘Jangan Tidur Lagi’…

Bloodshed ditubuhkan pada 1983 dan bukan 1985 seperti yang dipaparkan sejarah mereka. Menggunakan nama Petrol yang dibarisi Hamdan Yusof, Hamdan Ahmad, Judy dan Ahmad Zaini. Selepas itu Petrol bergabung dengan satu lagi kumpulan, Speed Sound yang dianggotai Rozawir Tony, Fakrurazi Sulaiman dan Rawita. Gabungan itu melairkan Bloodshed.

“Line-up asal pada 1983 ialah aku (Hamdan Yusof), Rawita dan Ross (pemain dram) serta tiga vokalis sebelum kemasukan Rosdan. Selepas itu apabila mahu bermain di Red Rooster Club di Kuala Lumpur antara 1984 atau 1985, kami perlu menjalani sesi uji bakat.

Tiga band melalui sesi uji bakat iaitu Bloodshed dari Kajang, Selangor serta Hurricane dan Hellion yang kedua-duanya dari Johor. Kami bernasib baik lulus uji bakat itu berbanding dua kumpulan terbabit.

Selepas era Red Rooster Club kami bermain di Hard Rock Cafe Damansara sebelum menyertai kompilasi bersejarah ‘Battle of The Bands’ dan mendapat tawaran merakam album dengan EMI.”

www.myspace.com/bloodshed.