Bas langgar pokok, pemandu maut 28 cedera

NILAI – Seorang pemandu bas persiaran maut manakala 28 penumpang cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Gadong Jaya berhampiran Kampung LBJ dekat sini, hari ini.

Kejadian pada pukul 4.30 pagi itu menyebabkan K. Gunachandar, 52, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan, kata jurucakap polis.

Tujuh daripada penumpang yang cedera itu kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar.

Beliau berkata bas terbabit membawa sembilan penumpang lelaki dan 19 wanita berusia dalam lingkungan 40 hingga 72 tahun dan ketika kejadian bas itu dalam perjalanan dari Tampin ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di Sepang.

Difahamkan kesemua mereka ingin ke Chiangmai, Thailand untuk bercuti.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu bas berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika melalui satu selekoh sebelum terbabas ke tepi jalan dan melanggar pokok. – Bernama