Banyak manfaat gabung bil SYABAS, IWK

KUALA LUMPUR: Penggabungan bil air Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan bil rawatan sisi kumbahan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) memberi banyak manfaat kepada kedua-dua syarikat terutama pengguna.

Pengerusi Eksekutif SYABAS, Tan Sri Rozali Ismail, berkata pihaknya pernah mengemukakan cadangan yang sama kepada IWK sejak dua tahun lalu termasuk menubuhkan ahli jawatankuasa khas untuk menetapkan kaedah pelaksanaannya tetapi tiada tindakan susulan.

“Sebagai syarikat pengendali air, apa saja langkah yang boleh menjimatkan kos operasi amat dialu-alukan. Kami serius untuk menggabungkan bil air dan pembetungan.

“Kami setuju 100 peratus kerana ia banyak memberi manfaat bukan saja kepada pengguna malah menjimatkan kos pengurusan, masa, sumber tenaga dan sebagainya.

“Kita berharap perkara ini menjadi kenyataan. Perbincangan lebih lanjut perlu diadakan oleh kedua-dua syarikat bagi menentukan kaedah untuk melaksanakannya.

“Pada masa ini saya tidak dapat menjelaskan kaedah pengiraan bil sebelum kedua-dua pihak memutuskan cara yang berkesan,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan mengenai kenyataan IWK yang menyokong cadangan kerajaan baru-baru ini untuk menggabungkan bil rawatan sisa kumbahan ke dalam bil air kerana ia disifatkan sebagai lebih telus dan adil untuk semua pelanggan.
Usaha menggabungkan bil berkenaan dilihat mampu mengatasi masalah bil pembetungan yang tertunggak sebanyak RM750 juta sejak 1997, iaitu RM450 juta oleh pengguna domestik dan selebihnya komersial.

Bagaimanapun, Rozali berkata pihak IWK perlu menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakannya kerana sebelum ini cadangan itu terhenti begitu saja tanpa sebarang kata putus.

“Bagi saya sebelum ini IWK tidak serius kerana tidak memberikan sebarang tindak balas dengan cadangan dikemukakan SYABAS.

“SYABAS sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji perkara ini sejak dua tahun lalu dan bersedia menjalin kerjasama ini demi kepentingan semua pihak,” katanya.