Annuar: ‘Saya akan hadir esok sebagai penyokong Kelantan’

KOTA BHARU – Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang dilihat berhadapan dengan ‘kontroversi baru’ menegaskan, beliau tetap akan hadir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebagai “penyokong biasa” untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA membabitkan Kelantan dan Sime Darby.

“Lagipun saya mempunyai hak kerana negara ini bebas dan mereka tidak boleh menyekat saya dan setakat ini saya sendiri turut membeli tiket untuk menonton perlawanan ini termasuk untuk keluarga.

“Namun saya belum buat keputusan untuk duduk di kawasan mana kerana tiket yang saya beli itu tempat duduk terbuka (astaka) namun saya turut menerima jemputan daripada beberapa syarikat penaja untuk duduk di kerusi VVIP,” katanya di sini, semalam.

Annuar membuat komen ini susulan tulisan beliau dalam laman sosial awal pagi semalam ekoran amaran diberikan oleh FAM kelmarin.

“Apa salah saya,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ini semasa mengulas mengenai amaran yang dikeluarkan FAM kerana menghadiri majlis pelancaran Dikir Warrios dan penjualan tiket Piala FA yang diadakan di Kafe The Red Warrior, Kelantan Trade Centre (KTC) Isnin lalu.

Annuar berkata, tindakannya disalah erti oleh pandangan pihak luar berhubung penglibatannya dalam aktiviti bola sepak sehingga diberi amaran keras oleh FAM.

“Kenyataan terbabit jelas tidak cermat dan badan induk  bola sepak kebangsaan itu sepatutnya menulis surat kepada saya menjelaskan mengenai tindakan saya dan tidak melaporkan dalam akhbar.

“Jelas maklumat yang dilaporkan pihak terbabit tidak tepat kerana saya tidak menjalankan aktiviti sebagai Presiden Kafa dan Timbalan Presiden FAM dalam majlis itu,” katanya kepada Sinar Harian pada majlis pelancaran konvoi Satu Malaysia di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) semalam.

Beliau berkata, majlis yang dihadiri juga bukan anjuran pihak Kafa dan kehadirannya itu hanya untuk memeriahkan majlis berkenaan dan tidak menyalahi peraturan ditetapkan.

“Lagipun mengikut Kod etika FAM 2011, saya hanya digantung dari menyertai sebarang aktiviti yang melibatkan bola sepak dan bukannya
digantung kedua-dua jawatan seperti dilaporkan di beberapa media tempatan sebelum ini.

“Saya mempunyai hak untuk hadir mana-mana majlis kerana mengikut peraturan saya tidak boleh hadir di padang sama ada sebagai penganjur, jurulatih, duduk di kawasan padang selain turun berjumpa pemain dan menghadiri majlis itu bukan satu kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum membuat tuduhan pihak berkenaan perlu menjalankan siasatan terperinci dan menunggu keputusan mesyuarat exco FAM pada 30 Mei ini, sebelum menghebahkan di media eletronik dan cetak.

Awal bulan lalu, Annuar digantung dua setengah tahun apabila melanggar Statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar di mana hanya Presiden FAM, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM saja yang boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Selain itu, Annuar juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu
hal-hal FAM tidak wajar disebar kepada media dan sepatutnya dibawa berbincang dengan jawatankuasa tersebut.