Amah kebas barang kemas RM50,000

PETALING JAYA: “Dia mahir masak lauk-pauk tempatan, malah sempat menghidangkan kari daging sebelum melarikan diri bersama barangan kemas milik anak perempuan saya,” kata Ketua Wanita Umno Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Azizah Abd Samad, yang kerugian dianggarkan RM50,000 selepas dikebas amah warga Indonesia yang baru tiga minggu bekerja di rumahnya di Kelana Jaya, di sini, semalam.

Menceritakan kejadian, Azizah berkata, beliau hanya menyedari kehilangan barangan kemas itu selepas pulang dari pejabat bersama anak perempuannya berusia 32 tahun pada jam 3 petang.

Katanya, sejurus pulang dia mendapati amah berusia 29 tahun itu berasal dari Surabaya itu tidak menyahut walaupun berulang kali dipanggil sebelum memeriksa bilik wanita itu di tingkat bawah dan mendapati almari pakaiannya kosong.

“Anak perempuan saya tidak sedap hati sebelum naik ke biliknya di tingkat atas dan terkejut mendapati satu set barang kemas disimpan di dalam laci lesap.

“Kami menghubungi polis kerana mengesyaki barangan kemas itu dilarikan amah terbabit sebelum sepasukan anggota datang melakukan penyiasatan,” katanya.

Azizah berkata, kali terakhir beliau melihat amah terbabit ketika keluar rumah pada sebelah pagi dan wanita itu masih berada di kediamannya ketika suami serta anak lelakinya keluar ke kedai pada jam 2.15 petang. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan sedang dijalankan termasuk mengesan amah terbabit.