Air kencing Apek mengandungi dadah

PETALING JAYA — Mahkamah Majistret di sini diberitahu bahawa bacaan ujian pengesanan kanabis terhadap air kencing pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek dan tiga rakannya adalah melebihi takat pengesanan dadah.

Rozita Abdullah, 41, pegawai sains di Jabatan Patologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, berkata keputusan bacaan ujian itu diketahui selepas ujian pengesanan kanabis dibuat terhadap sampel air kencing empat tertuduh itu pada 22 Jun 2010.

“Begitu juga dengan ujian saringan dadah yang dilakukan kepada kesemua mereka, keputusan kesemua bacaan air kencing mereka melebihi takat itu,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad semasa pemeriksaan utama.

Pada 1 November tahun lepas, Saiful Apek, 42, dan tiga rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28; Shaiful Baharom, 24; dan Noremy Mohamad, 28, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka. — BERNAMA