Ahli tipu KWSP dihukum

KUALA LUMPUR: Lima ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disabitkan kesalahan oleh mahkamah kerana menipu atau cubaan menipu pengeluaran bagi tempoh Januari dan Mac tahun ini.

Semua ahli terbabit didakwa di bawah Seksyen 59, Akta KWSP 1991 dan didenda RM10,500 oleh mahkamah bagi kesalahan membabitkan pengeluaran perumahan KWSP.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, tindakan itu membuktikan komitmen mereka membanteras penipuan pengeluaran di kalangan ahli serta ketegasan polisi toleransi sifar terhadap sebarang bentuk penipuan.

“Ahli diingatkan agar menjauhi penipuan pengeluaran memandangkan proses KWSP dirancang teliti bagi membolehkan KWSP mengesan ahli yang membuat penipuan pengeluaran walaupun selepas simpanan mereka dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Katanya laporan polis serta tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terbabit dalam penipuan pengeluaran.

Mereka yang ingin melaporkan sebarang kegiatan penipuan boleh menghubungi Hotline Anti-Fraud KWSP di talian 03-2616-2121 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.- Bernama