4 lelaki ditahan dipercayai baling bom tangan

IPOH – Seorang dari empat lelaki yang dikatakan ingin menuntut hutang daripada seorang individu bertindak membaling bom tangan di hadapan rumah lelaki itu di Taman Bemban Jaya, Batu Gajah dekat sini hari ini, apabila tuntutan mereka tidak dilayan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, empat lelaki berusia antara 14 dan 35 tahun pergi ke rumah berkenaan untuk menuntut hutang.

“Mangsa enggan melayan permintaan mereka menyebabkan berlaku pergaduhan.

“Seorang daripada lelaki berkenaan kemudian mengeluarkan sebutir bom tangan dan menunjukkan ke arah mangsa bertujuan untuk mengugut sebelum membalingnya ke bawah kereta mangsa namum bom itu tidak meletup,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata polis yang ke rumah itu setelah menerima panggilan daripada mangsa, berjaya menahan keempat-empat lelaki terbabit berhampiran rumah berkenaan ketika mereka cuba melarikan diri.

Polis yang membuat pemeriksaan kemudian menemui sebutir bom tangan yang masih hidup dan bom itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut, katanya. – Bernama