Tersepit pembajak

ALOR SETAR: Seorang lelaki terbunuh apabila tersepit antara jentera pembajak kecil dengan lantai kayu rumah selepas mesin itu terjungkit secara tiba-tiba ketika cuba dikeluarkan dari ruang bawah rumah neneknya, kelmarin.

Difahamkan, kejadian berlaku jam 4.20 petang di Simpang Empat Kangkung, di sini, ketika Mohd Hishammudin Yusoff, 22, mahu mengeluarkan mesin itu bagi menggantikan minyak hitam untuk kerja-kerja membajak sawah.
Bapa mangsa, Yusoff Ayob, 59, berkata, dia yang berada berhampiran terkejut apabila mendapati jentera itu terjungkit menyebabkan mangsa yang berada di tempat duduk terangkat lalu tersepit antara lantai kayu dan jentera itu.
Menurutnya, dia mendapati dada anaknya dihimpit besi jentera dan belakangnya tersepit pada kayu lantai lalu cuba menurunkan jentera itu, tetapi gagal kerana berat.
“Saya bergegas meminta bantuan jiran dan jentera hanya berjaya diturunkan tidak lama kemudian dan arwah tidak sedarkan diri.
“Arwah sebenarnya mahu keluar berniaga di pasar malam berhampiran, tetapi dia tetap mahu membantu mengeluarkan jentera pembajak berkenaan kerana ingin membantu saya,” katanya.