Terperangkap sejam, tren rosak

KUALA LUMPUR – Ratusan penumpang komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terperangkap kira-kira sejam selepas tren itu terkandas berhampiran Stesen Salak Selatan, di sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang membabitkan sebuah tren dalam perjalanan dari ibu kota menuju ke Seremban yang dikatakan mengalami masalah teknikal selepas mengambil penumpang di stesen tersebut.

Dalam kejadian itu, kesemua penumpang terpaksa bersesak dalam kepanasan disebabkan bekalan elektrik terputus sebelum diselamatkan oleh pegawai dan kakitangan KTMB.

Salah seorang penumpang, Azwani Ismail, 33, berkata, orang ramai yang panik dan kepanasan cuba membuka pintu komuter namun tidak berjaya.

“Haru-biru di dalam, anak kecil menangis, penumpang susah nak bernafas selain ada kalangan wanita yang mengandung mengalami tekanan,” katanya kepada Kosmo!, di sini semalam.

Menurutnya, kejadian tersebut bukan kali pertama pernah dia alami tetapi sudah lima kali sepanjang beliau menggunakan perkhidmatan itu.

Jelasnya, lebih memburukkan keadaan apabila tindakan KTMB mengeluarkan penumpang dalam keadaan yang tidak teratur iaitu terpaksa menggunakan sebuah tangga yang kecil.

“Adakah patut dalam ratusan kami turun itu hanya disediakan satu tangga sahaja, nasib baik penumpang tidak merusuh,” ujarnya.

Kosmo! pada itu sempat menemuramah salah seorang wanita yang sarat mengandung dikenali sebagai Sara, 27, menyatakan ketidakpuasan terhadap perkhidmatan KTMB.

“Sepanjang saya mengandung ini sudah dua kali terkandas seperti ini dan ia membuat saya bimbang ke atas kandungan kerana susah nak bernafas,” ujarnya yang kini mengandung tujuh bulan.

Tambahnya, beliau mencadangkan supaya KTMB meletak seorang pekerja penyelenggara di setiap tren bagi mengelak kejadian seperti itu berulang lagi.

Difahamkan, sebelum itu penumpang dari sebuah tren dari KL Sentral ke Seremban diarahkan turun pada jam 6.30 petang di stesen Salak Selatan bagi digunakan untuk menarik tren terkandas itu.

Menurut pegawai stesen yang enggan dikenali mengesahkan kejadian tren terkandas itu disebabkan oleh masalah teknikal dan operasi menyelamat mengambil masa yang lama disebabkan tren itu berada jauh dari stesen perhentian.

“KTMB menggunakan dua buah tren tambahan dari ibu kota untuk membawa penumpang yang terkandas itu ke Seremban,” ujarnya.