Sri Lanka gerun hadapi Harimau Malaya

MENYEDARI hakikat betapa ada jurang perbezaan antara pasukannya dengan Malaysia, pengurus Sri Lanka, Wickremasinghe Wasantha Nandakumara tanpa berselindung melabel skuad juara Piala Suzuki AFF, Harimau Malaya sebagai pasukan yang hebat.

Wasantha berkata, perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Malaysia di Stadium Shah Alam malam ini akan menjadi medan terbaik untuk menguji barisan pemain mudanya.

“Tidak dinafikan, mereka (Malaysia) pasukan yang sangat kuat. Apa yang kami harapkan menerusi perlawanan ini adalah pendedahan untuk pemain-pemain.

“Kami sangat berterima kasih kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) kerana menjemput kami bagi perlawanan persahabatan ini. Memang kami membawa ramai pemain muda kali ini jadi ini peluang terbaik untuk mereka menimba pengalaman,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan perlawanan persahabatan itu semalam.

Sri Lanka tiba di Kuala Lumpur kelmarin dengan kekuatan seramai 22 pemain termasuk 12 pemain bawah 20 tahun dengan misi mendapatkan pendedahan sebelum menyertai kejohanan Jemputan di Palestin bulan depan.

Aksi Sri Lanka yang kini menduduki ranking ke-181 dunia tahun ini kurang memberangsangkan apabila gagal mara ke separuh akhir Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) pada Disember 2011 manakala tumpas kepada Filipina menerusi agregat 1-5 pada pusingan kelayakan Piala Dunia Julai 2011.

Dalam pada itu, Wasantha memaklumkan Sri Lanka kini dibimbing jurulatih baru, Kolonnage Mayura Sampath Perera menggantikan pengendali dari Korea Selatan, Jang Jung.