Mayat lelaki terkerat dua ditemui di kolam air

ALOR GAJAH – Mayat seorang lelaki yang terkerat dua ditemui di kolam air Machap di sini, semalam.

Mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui terapung dalam kolam itu oleh seorang penduduk yang ingin memancing pada kira-kira pukul 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt. Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, tiada identiti ditemui pada mayat itu dan polis percaya lelaki itu berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an.

“Kami percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam kolam ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal, polis menemui empat kesan tikaman di belakang badan mangsa serta terdapat kesan luka di kepala dan berdasarkan keadaan mayat, polis percaya lelaki itu mati hampir seminggu lepas. – BERNAMA