Kim Swee puji barisan pemain ‘skuad tempang’

RIAK wajah pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee jelas gembira tatkala barisan pemainnya yang berstatus ‘skuad tempang’ mempamerkan aksi terbaik mencipta kemenangan 3-1 ke atas Hougang United FC pada saingan Liga Singapura (Liga-S) di Stadium Yishun, Singapura, kelmarin.

Tanpa kelibat empat tonggak utama, Mahali Jusali, Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Ahmad Hazwan Bakri yang bersama skuad senior, keupayaan pemain yang sedia ada mampu mengimbangi kekuatan Hougang United diperkuatkan empat pemain import harus dipuji tatkala tidak kekok mempamer aksi berkualiti.

“Saya senaraikan 15 pemain tetapi hanya 13 pemain sahaja yang mampu beraksi dan memang agak sukar membuat percaturan taktikal tetapi karektor pemain yang ingin menebus kehampaan selepas tewas 2-0 kepada Balestier Khalsa FC tempoh hari mencetus semangat baru buat mereka melakar kemenangan.

“Kesebelasan pemain yang saya turunkan tidak kenal erti penat sebaliknya mereka bergerak dalam satu pasukan dan saya memuji sikap kapten Affize Faisal Mamat apabila dia bukan sahaja beraksi di benteng pertahanan, sebaliknya mampu bertindak selaku penyerang untuk menjaringkan gol.

“Paling ketara apabila aksi memasuki 10 minit terakhir, pemain mula mengalami kecederaan dan kekejangan otot dan saya terpaksa bergantung kepada kelibat sembilan pemain sahaja bertarung di padang ketika tiga lagi pemain sudah tidak mampu lagi beraksi sehingga memaksa penyerang A Thamil Arasu turun ke bawah bertahan,” katanya.