Festival Jazz Antarabangsa Kuala Lumpur 2012

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur bakal mencipta sejarah apabila buat julung-julung kalinya akan menjadi lokasi penganjuran Festival Jazz Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada 19 dan 20 Mei ini.

Menurut Pengerusi Eksekutif International Jazz Sdn. Bhd. (KLIJ), Maizon Omar, acara yang mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan menghimpunkan pemuzik jazz terkenal dan berpengalaman dari seluruh dunia.

“Antara barisan pemuzik yang bakal menyertai festival Jazz itu nanti ialah pemain piano merangkap komposer hebat Jepun, Hiromi Uehara.

“Selain itu, pemain piano terkenal, Ahmad Jamal yang pernah mendapat pengiktirafan anugerah kehormat American Jazz Master dari Endowment For The Art, Washington, Amerika Syarikat turut memeriahkan festival tersebut,” katanya pada sidang akhbar Festival Jazz Antarabangsa 2012 Kuala lumpur di sini semalam.