Berani Punya Budak tampilkan kelainan

KEBANYAKAN filem genre aksi yang turut diselitkan dengan elemen komedi dilihat mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dalam kalangan penonton di negara ini.

Merujuk kepada penerimaan genre filem sedemikian yang diterima ramai, syarikat penerbitan dari Malaysia yang bekerjasama dengan syarikat dari Thailand iaitu Film Frame Production telah menerbitkan filem berjudul, Berani Punya Budak.

Bagaimanapun, filem tersebut sebenarnya merupakan adaptasi daripada filem berjudul Brave yang telah dihasilkan pada tahun 2007 dan cuma ditayangkan di Thailand.

Afdlin Shauki selaku pengarah Berani Punya Budak berkata, pihaknya berhasrat untuk menayangkan filem berkenaan di Malaysia pada tahun 2009, tetapi masalah cetak rompak yang berlaku menyebabkan hasrat tersebut terpaksa dibatalkan.

“Pada tahun 2010 saya telah merombak semula 30 peratus skrip asal filem Brave untuk menghasilkan filem ini. Rombakan yang dibuat bersesuaian dengan cita rasa dan budaya masyarakat di negara ini.

“Selain mengekalkan pelakon-pelakon asal seperti Awie, Sharifah Sofia, Supaksorn Chaimongkol, Pairote Boongerd dan saya sendiri, terdapat beberapa orang pelakon baharu yang turut serta iaitu Johan, Nabil, Adlin Aman Ramlie dan Riezman Khuzaimi,” ujarnya pada majlis tayangan perdana filem itu yang diadakan baru-baru ini.

Berani Punya Budak mengisahkan mengenai Mike B (Pairote) dalam misi menyelamatkan abang iparnya, Tong (Afdlin Shauki) yang telah ditangkap satu kumpulan Mafia.

Dia terpaksa menceroboh sebuah syarikat kad kredit antarabangsa Bank Wealthy dan menawan penolong presiden syarikat itu, Lita (Supaksorn) untuk mendapatkan data maklumat pelanggan. Namun, usahanya sia-sia apabila kumpulan Mafia itu bertindak ingin membunuh Pairote dan Tong setelah mendapat data yang dicuri.

Menurut Afdlin, filem Brave sebenarnya lebih serius dan tidak memaparkan sebarang unsur komedi.

Bagaimanapun, setelah perubahan dilakukan dia mengambil keputusan untuk menerbitkannya dalam bentuk aksi komedi.

“Filem ini masih lagi memaparkan banyak aksi terutamanya yang membabitkan pergaduhan, tetapi elemen komedi yang diterapkan menerusi dialognya yang sangat kelakar setelah dialih suara ke bahasa Melayu.

“Kalau dalam filem Brave semua dialog menggunakan bahasa Thai, untuk filem ini pula 100 peratus menggunakan bahasa Melayu dan itulah kelainan yang cuba ditampilkan dalam filem ini,” ujarnya.

Menurut Afdlin, sekiranya Berani Punya Budak meraih sambutan yang sangat baik daripada penonton, dia sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan sekuel filem tersebut.

Salah seorang pelakon, Awie yang ditemui pada majlis berkenaan berkata, dalam filem tersebut dia memegang watak sebagai John yang juga merupakan seorang pembunuh upahan.

Menurut Awie, watak John yang dibawakannya itu tidak banyak berdialog, seorang pengikut yang sangat taat dan setia serta mengikut segala arahan yang diberikan oleh ketuanya.

“Sebenarnya saya terbabit dalam babak-babak pergaduhan dan sebab itu dialog saya tidak terlalu banyak. Secara jujur saya sangat berpuas hati setelah melihat hasil filem arahan Afdlin ini.

“Paling menarik saya juga telah melakukan stunt sendiri dan banyak dibantu oleh rakan pelakon lain seperti Pairote. Namun, kalau diberi masa dua atau tiga bulan untuk membuat latihan, saya percaya dapat melakukan aksi stunt dengan lebih baik lagi,” ujarnya.